Menunggu berseorangan membuatkan aku kebosanan. Nasib baik ada seorang kakak yang sedang menunggu untuk diperiksa. Kesakitan yang kurasai makin bertambah. Air yang bercampur darah keluar sedikit demi sedikit. Aku biarkan sahaja. Dalam kesakitan tersebut, aku sempat tertidur tetapi hanya tidur-tidur ayam. Di luar wad, suamiku setia menunggu walaupun tidak dibenarkan berjumpa . Aku masih terasa semangatnya yang inginkanku sabar dan bertawakal.
Pukul 12 tengahari ibuku menelefon, memberitahu bahawa mereka telah tiba di rumahku. Suamiku pulang ke rumah untuk menyambut mereka. Pukul 1 petang, tibanya waktu melawat, suamiku, ibuku, ayahku serta adik beradikku masuk ke dalam wad. Ketika melihat wajah ibuku hatiku menjadi sayu. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin semakin dekat dengan ibuku aku semakin terasa kasih sayangnya. Dalam kesakitan itu, aku mampu lagi tersenyum.
Setelah habis waktu melawat, mereka terpaksa meninggalkanku seorang diri lagi di dalam wad. Dalam hati terasa tidak mahu membenarkan mereka pulang. Tetapi apakan daya, peraturan hospital perlu dipatuhi. Sebelum pulang, ibuku menyuruhku meminum air akar Fatimah yang direndam oleh suamiku sebelum datang ke hospital pagi tadi.Akar Fatimah ini dibekalkan oleh ibu mertuaku semasa pulang ke kampong pada cuti sekolah yang lepas.Tepat pukul 2.05, aku masuk ke labour room untuk pemeriksaan ‘jalan’ kali kedua. Jururawat memaklumkan bahawa bukaan serviksku 5 cm. Dia berkata bahawa aku dijangkakan bersalin mungkin selepas waktu asar. Kemudian aku menunggu lagi. Aku tidur-tidur ayam sahaja kerana sakitku semakin kuat dan kerap. Tetapi, dalam kesakitan itu aku sempat bersms dengan suamiku. Suamiku menasihatkanku agar banyak bersabar, beristighfar dan banyak mengingati Allah. Dia mengatakan bahawa dia pun banyak berdoa agar aku dipermudahkan bersalin.
JIKA ANDA ADA KOMEN, SILA POST KAN DI SINI!!!
No comments:
Post a Comment